ANTIBIOTIK, ANTIVIRAL, ANTIFUNGAL, ANTIHELMINTH


Ada pesakit yang bertemu saya yang meminta untuk diberikan antibiotik walaupun tidak ada indikasi untuk diberikan kepada pesakit tersebut. Contohnya jika seseorang itu selsema tanpa ada demam dan tanda-tanda jangkitan, anda tidak memerlukan antibiotik.

Antibiotik diperlukan jika anda disyaki dijangkiti oleh bakteria. Antara tanda-tanda jangkitan ialah demam yang kuat dimana ketika ini sistem immuniti tubuh akan membebaskan beberapa pahan 'pyrogen' yang menyebabkan demam sebagai langkah oleh badan untuk membunuh patogen tersebut.

Patogen ( organisma yang membawa penyakit ) terdiri daripada bakteria, virus, fungus )kulat, cacing ( helminth ), amoeba, dll. Setiap daripada organisma tersebut memerlukan ubat yang berlainan untuk membunuhnya. Secara amnya rawatan untuk setiap organisma adalah seperti berikut:

1. Bakteria = antibiotik
2. Virus = antivirus
3. Fungus = antifungus (kulat)
4. Cacing = antihelminth

Jadi pastinya ada sebab mengapa doktor anda tidak memberi antibiotik kepada anda untuk penyakit yang tidak disyaki dijangkiti oleh patogen itu. Sehingga bertemu lagi

PERLUKAH BERPANTANG?


Sewaktu saya merawat pesakit, ramai yang bertanya kepada saya perlukah mereka berpantang ketika mereka sakit dan demam. Adakah mereka perlu mengelak daripada mengambil telur, udang, sayur-sayuran ketika mereka sakit. Tidak kurang juga saya menemui wanita postnatal iaitu selepas bersalin di"haramkan" mengambil makanan yang lebih berkhasiat dan bernutrisi serta buah-buahan. Malahan ada juga yang dilarang minum air sehingga mereka mengalami sembelit sehingga luka episiotomi di faraj dijangkiti kuman dan mengalami pendarahan.

Ada juga yang mengatakan mandi malam menyebabkan paru-paru berair, manakala sesetengah berpendapat tidak boleh mandi selepas menjalani pembedahan. Sehinggakan pernah satu ketika saya berjumpa dengan pesakit post caesar dimana luka pembedahan tidak bercantum langsung hingga terpaksa dimasukkan ke wad kerana jangkitan luka.

Jika kita fikirkan secara logik, apa kaitannya mandi malam dengan paru-paru berair ( pleural effusion dalam bahasa perubatan ) yang mana penyebabnya ialah Lemah jantung. Amnya, jika seseorang telah berpeluh, badan kotor dan berbau amat wajar sekali mereka mandi untuk membunuh mikroorganisma yang mungkin menjangkitinya. Manakala wanita yang baru bersalin perlu mengambil air minuman yang mencukupi untuk mengelakkan sembelit yang boleh menyebabkan luka bersalin lambat sembuh.

Semua ini adalah contoh pandangan-pandangan tradisional yang tidak berdasarkan bukti saintifik. Umum menyedari bahawa orang-orang tua dahulu belajar melalui pengalaman mengenai sesuatu perkara. Ini bukan bermakna mereka tidak betul dalam semua perkara, malah sesetengahnya boleh diambil sebagai panduan dan petua. Manakala selebihnya perlulah kita pula selidiki sejauh mana kebenaran dan keabsahan perkara itu. Kita sebagai generasi bermaklumat dan saintifik perlu ada inisiatif untuk mengesahkan sesuatu perkara berdasarkan bukti ilimiah tanpa merujuk pandangan tradisional yang mana sesetengahnya mungkin tidak lagi relevan di zaman ini.

Apa yang penting anda perlu menghapuskan kesangsian tersebut dengan bertanya kepada orang yang arif dalam perkara tersebut. Jelas sekali dalam hal ini, anda perlu bertanya dengan doktor anda untuk menghilangkan kesangsian tersebut. Sekian, terima kasih.

Diabetes Mellitus




Dewaza ini penyakit Kencing Manis atau Diabetes Mellitus sudah sebati dengan kehidupan masyarakat kita. Ia bukanlah lagi penyakit pelik lagi asing yang tidak pernah didengari. Tidak lagi pelik ramai antara penduduk dunia yang menghidap Kencing manis dan meninggal dunia disebabkan olehnya, malah jauh lebih ramai daripada Influenza H1N1.

Diabetes boleh dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu:

1. Type 1 diabetes mellitus. Terjadi kepada kanak=kanak, disebabkan oleh kegagalan Beta cell pancreas merembeskan insulin yang mungkin disebabkan o;eh jangkitan virus atau pun kegagalan genetik.

2. Type 2 diabetes mellitus. Disebabkan oleh rintangan reseptor sel terhadap insulin. Faktor utama penyakit ini ialah kerana pendedahan terlalu lama terhadap hiperglisemia ( kandungan gula tinggi didalam darah).

3. Gestational diabetes mellitus. Kencing manis semasa mengandung. Disebabkan oleh hormon ketika mengandung iaitu human placental lactogen, cortisol, estrogen dan progesteron.

4. Secondary diabetes Mellitus. Disebabkan oleh penyakit lain iaitu tumor seperti insulinoma, kecederaan pankreas, penyakit endokrin yang lain seperti Cushing syndrome, acromegaly dll.

Bagaimana diagnosis dibuat??

1. Mengalami simptom seperti kencing yang banyak, selalu lapar dan dahaga, mudah terkena
kudis, nanah, bisul dan jangkitan kulit yang lain.

2. Gula ketika puasa selama 8 jam > 7 mmol/ L sebanyak 2 kali bacaan yang berlainan waktu.

3. Bacaan gula rawak ( tidak berpuasa selama 8 jam) > 11 mmol/L

4. Bacaan gula selepas diberikan ujian glukosa 75g selepas 2 jam > 11mmol/L



Untuk pengurusan pesakit diabetes, saya akan sentuh dalam artikel yang akan datang. Sehingga berjumpa lagi.















Kematian H1N1 tinggi?




Umum menyangka kadar mortaliti disebabkan oleh H1N1 amat tinggi jika dibandingkan dengan mereka yang dijangkiti. Setakat ini, Malaysia telah mencatatkan 73 kematian berkaitan Influenza H1N1. Apa lagi jika dibandingkan kadar kematian di negara jiran yang jauh lebih rendah berbanding malaysia yang secara relatifnya menyediakan kemudahan perubatan yang lebih baik, canggih dan efektif. Secara kasarnya pada pandangan umum, kadar kematian H1N1 di Malaysia boleh dikira agak tinggi. Jikalau dahulu, kementerian akan mewartakan jumlah pesakit H1N1 yang positif sedikit masa dahulu, tetapi sekarang ia difikirkan tidak lagi relevan.

Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), setakat 30 Ogos 2009 pesakit yang dijangkiti H1N1 adalah 246,221 dengan 2,958 kematian yang melibatkan 182 buah negara. Angka ini tidak langsung menunjukkan angka yang tepat kerana angka ini adalah mereka yang disahkan melalui keputusan makmal iaitu calitan tekak (throat swab). Angka sebenar mungkin telah mencapai 500,000 orang atau lebih manakala malaysia pula dianggarkan lebih daripada 10,000 dimana mereka telah dirawat sebagai ILI ( influenza like illness).

Untuk mengesahkan kadar mortaliti di Malaysia yang tinggi, ini tidak boleh dilakukan dengan menggunakan jumlah kematian dan jumlah mereka yang disahkan positif. Ini kerana ramai lagi penduduk Malaysia yang mempunyai simptom tetapi tidak di masuk kira di dalam data-data tersebut. Untuk menentukan kadar kematian ia perlulah mengambil jumlah penduduk Malaysia keseluruhannya dan dibandingkan dengan jumlah kematian berkaitan dengan H1N1.

Jika anda mengira bahawa kadar kematian H1N1 di negara jiran lebih kecil pula mungkin jangkaan anda tersasar. Untuk mengesahkan kematian akibat H1N1, anda perlulah ada ujian makmal untuk mengesahkannya. Untuk menjalankan ujian ini memerlukan kos yang agak tinggi dan juga tenaga kerja yang ramai. Mungkin negara-negara jiran kita atau pun negara afrika tidak mempunyai sumber yang cukup untuk membeli reagen tersebut dan juga tahap kesedaran rakyat negara masing-masing untuk mengenali gejala influenza H1N1.

Manakala pendapat mengatakan tahap kesedaran rakyat Malaysia masih rendah berkenaan H1N1, menurut pandangan saya rakyat kita sedang belajar untuk memahami penyakit dan rakyat kita sudahpun mengambil langkah proaktif dalam menangani wabak ini dengan baik

Uri di BAWAH?



Anda seorang wanita yang hamil 7 bulan, kemudian ketika ultrasound scan dijalankan, doktor memberitahu anda bahawa kedudukan uri anda berada dibawah. Apakah anda terkejut dan mengerti makna uri dibawah? Atau anda membiarkan sahaja maklumat itu menjadi sebahagian daripada misteriiiii? Atau anda membiarkan sahaja ia menjadi penyebab kematian bagi ibu mengandung?? Pada pendapat saya, amat wajar wanita yang mengandung mengetahui serba sedikit mengenai masalah ini.


Dalam bahasa perubatan, uri dinamakan sebagai placenta, manakala pelekatan uri dibahagian bawah uterus berdekatan dengan internal os atau pun cervix ( pintu rahim ) ialah placenta praevia. Untuk memahami maksud dengan jelas, mari kita lihat ilustrasi dibawah.


Dalam keadaan normal, pelekatan uri haruslah tidak menutupi cervix supaya tidak menghalang proses kelahiran dimana bayi akan melalui cervix (pintu rahim). Ia boleh melekat di mana-mana bahagian rahim seperti di depan (anterior), belakang (posterior), bahagian sisi(lateral) dan atas (fundus ). Dalam contoh di atas, placenta tersebut melekat sepenuhnya di pintu rahim menyebabkan bayi tidak boleh dilahirkan secara normal.


Placenta praevia boleh dibahagikan kepada beberapa tahap iaitu :

1) Complete ( sepenuhnya )
2) Partial ( sebahagian)
3) Marginal ( menghampiri tetapi tidak menutupi )
4) Low lying ( berdekatan dengan pintu rahim tetapi masih lagi tidak menutupinya ).


Antara faktor-faktor risiko untuk mendapat placenta praevia ketika mengandung adalah seperti berikut:

1) Peningkatan usia
2) Mengandung lebih daripada 2 kali ( multiparity)
3) Mengandung kembar (twin pregnancy )
4) Sejarah pembedahan melibatkan rahim ( caesarean section )
5) Keguguran

Wanita yang hamil dengan placenta praevia mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat komplikasi seperti berikut:

1) Pendarahan yang banyak
2) Jangkitan (septicaemia )
3) Risiko untuk pembuangan rahim jika pendarahan terlalu teruk dan tidak dapat dihentikan
ketika pembedahan.


Kebiasaannya untuk memastikan kedudukan uri, ultrasound scan perlu dilakukan pada usia kandungan 7 bulan ( 28 minggu ), jika jarak dibahagian hujung uri dengan cervix > 5 cm bermakna uri diatas, tetapi jika jarak uri < 5 cm, maka ultrasound perlu diulangi dalam masa 2 - 4 minggu untuk memastikan kedudukan uri yang sebenar. Tetapi jika uri menutupi sepenuhnya kemungkinan anda akan dimasukkan ke wad sehingga 9 bulan kemudian pembedahan akan dilakukan.

Setakat ini rawatan untuk placenta praevia adalah simptomatik. Untuk placenta praevia sepenuhnya dan sebahagian ( complete and partial ) memerlukan pembedahan manakala low lying atau marginal ada kemungkinan kelahiran secara normal dibenarkan. .

Para peniaga Bazaar Ramadhan




Bulan Ramadhan al-Mubarak yang dinanti akan menjelang tiba tidak lama lagi. Pastinya apa yang sinonim dengan bulan ramadhan di sudut benak kita ialah BAZAAR RAMADHAN. Bulan inilah umat Islam di Malaysia khususnya menikmati juadah-juadah pelbagai rupa dan rasa, malah kadangkala menyebabkan tabiat makan kita lebih daripada biasa.

Kepada umat Islam yang berpuasa, marilah kita mengamalkan pemakanan yang sihat dengan mempraktikkan makan semasa lapar, berhenti sebelum kenyang seperti mana Rasullullah ajarkan kepada kita. Ini kerana jika kita lihat kembali, kebanyakan penyakit pada hari ini berpunca daripada makanan. Mahu menjamu selera itu boleh tetapi berpada-padalah.



Kepada para peniaga anda diingatkan supaya mengambil suntikan vaksin Typhim di klinik kerajaan atau swasta. Ini untuk mengelakkan jangkitan Typhoid lebih-lebih lagi daripada pengendali makanan kepada pelanggan. Anda cuma perlu mengambil vaksin sekali dalam masa 3 tahun.


Vaksin tersebut akan disuntik di bahagian badan yang berotot ( cth bahu, punggung) dan tidak menyebabkan kesan sampingan yang serius. Sesetengah individu mungkin mengalami demam, pening kepala, dan loya yang ringan. Walaupun ia memberi perlindungan kepada badan, ia tidak menjamin 100% pesakit itu tidak dijangkiti. Anda masih perlu menjaga kebersihan, mengamalkan kebersihan makanan dan tangan, hanya minum minuman yang sudah dimasak atau ditapis


Kepada rakyat Malaysia khususnya umat Islam, selamat menyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak.

JENIS-JENIS TOPENG MUKA ( MASK )

H1N1 atau selsema babi telah menyerang seluruh warga dunia dengan penangan yang dahsyat ( fullblown). Rakyat di Malaysia juga terasa impaknya apabila kes-kes kematian dilaporkan satu persatu, pertambahan yang begitu mendadak sekali. Jika dibandingkan kes jangkitan dengan kadar mortaliti di Malaysia, negara kita mencatatkan kadar mortality (kematian ) antara yang tertinggi didunia. Sehingga kini 62 kematian dicatatkan di Malaysia yang cukup untuk menggerunkan kita. Angka ini jauh lebih tinggi daripada kematian denggi 28127 kes dengan hanya 67 kematian.

Antara penyebab penularan jangkitan yang tinggi ialah ia berjangkit melalui udara ( airborne disease). Mereka yang berdekatan dengan pesakit yang mempunyai simptom boleh berjangkit dengan mudah apabila udara yang mengandungi virus daripada kahak dan hingus disedut oleh individu yang sihat.

Oleh sebab itu, mereka yang mempunyai simptom diwajibkan memakai topeng muka untuk mengelakkan penyebaran udara tercemar dengan virus. Mereka yang sihat juga digalakkan memakai topeng muka apabila pergi ke tempat yang sesak.



Antara jenis-jenis topeng muka ialah :

1) Surgical mask

Ia digunakan oleh pesakit untuk mengelakkan cecair kahak dan hingus pesakit tersebar ke udara ketika batuk. Tidak menjanjikan perlindungan 100% kepada pemakai yang sihat kerana udara masih lagi boleh masuk ke rongga-rongga yang ada di topeng tersebut jika tidak dipakai dengan kemas.



2) N95 mask
Ia digunakan oleh staf kesihatan untuk melindungi pemakai ketika berhadapan dengan pesakit yang bersimptom. Memberi perlindungan yang lebih tinggi kerana tiada rongga diantara mulut, hidung dan persekitaran luar. Pemakai mungkin berasa tidak selesa kerana tiada rongga udara dan menyebabkan sedikit kesukaran bernafas.


3) N 100 with filter



Mempunyai air filter dihadapan yang berfungsi dengan menapis udara diluar dan menghalang kemasukan partikel udara daripada memasuki rung dalam topeng. Agak selesa dipakai kerana filter tersebut membenarkan udara didalam topeng ke luar. Tidak sesuai dipakai oleh pesakit kerana masih membenarkan udara tercemar keluar daripada topeng tersbut.


Perlu diingatkan bahawa penggunaan topeng muka adalah pakai buang dan tidak boleh digunakan sekali lagi dan tidak boleh dikongsi. Apa pun, sila amalkan amalan kebersihan tangan, mengelakkan daripada mengunjungi tempat-tempat awam apabila tidak perlu dan jarakkan diri daripada mereka yang mempunyai simptom. Sekian.