BUKU LALI BENGKAK ?





















Pesakit ini datang ke klinik saya kerana buku lali yang bengkak. Dia mempunyai sejarah patah tulang fibula 3 tahun yang lalu. Ketika itu beliau telah dirawat dengan POP (simen) selama sebulan.
Sekarang buku lali beliau sakit sehingga menyukarkannya berjalan.

X-ray buku lali pesakit ini ialah seperti dibawah:
























Di sini dapat dilihat tulang fibula telah bercantum dengan tidak normal. Ini menyebabkan pesakit mengalami osteoarthritis sendi buku lali disebabkan oleh trauma. Ruang antara tulang juga sempit dan juga pertumbuhan osteofit yang abnormal.

Jangan teragak-agak untuk melakukan X-ray jika pesakit anda sakit sendi dan mempunyai sejarah trauma yang lampau. Sekian

Kulat Jari Kaki

















Mungkin anda pernah mengalami masalah ini seperti diatas. Celah jari anda mengalami masalah keputihan, luka, berbau busuk dan gatal. Kemungkinan besar anda dijangkiti kulat kaki.

Ia disebabkan oleh beberapa spesis kulat iaitu

1) Trichophyton mentagrophytes
2) Trichophyton rubrum
3) Trichophyton tonsurans
4) Epidermophyton floccosum

Antara tanda-tanda dan simptomnya ialah

1) Gatal
2) Berbau busuk
3) Melecet dan luka
4) Kadang-kadang ia melibatkan jari kaki sehingga tebal, terkopek, kuku menjadi rosak dan sebagainya.


Antara faktor risiko yang boleh menyebabkan masalah ini ialah:

  • Persekitaran yang lembab ( kasut / stokin yang basah )
  • Penggunaan steroid topikal yang lama dan berterusan
  • Kasut yang ketat dan tiada pengudaraan
  • Pesakit yang mempunyai daya tahan imun yang rendah ( HIV, diabetes, pesakit yang mengambil pil steroid, immunosupressive agent )

Cara-cara rawatan untuk penyakit ini:

1) Elakkan dari memakai stokin / kasut yang basah dan lembab
2) Menggunakan krim antifungal topikal
3) Merendam dan membuang kulit yang mati
4) Pastikan kaki anda sentiasa kering.

Jumpalah dengan dr anda untuk mendapat rawatan yang sewajarnya. Elakkan dari membuat diagnosis sendiri ok.

Kaki Bengkak. Sakit apa tu?
























Pernahkah anda melihat kaki anda, saudara, kawan rapat anda mengalami kaki bengkak seperti ini?

Ini adalah antara gambar yang saya dapat tunjukkan pada pesakit yang menghidapi masalah buah pinggang. Bengkak ini biasanya melibatkan kedua-dua belah kaki. Bengkak ini juga tidak sakit, malah pesakit juga mampu untuk berjalan seperti biasa. Apabila ditekan, ia akan melekuk kedalam. Ini berlainan dengan kebanyakan sangkaan orang yang menyangka pesakit buah pinggang akan mengadu sakit pinggang dan juga lenguh-lenguh yang biasanya disebabkan oleh otot-otot belakang yang penat.























Antara fungsi-fungsi buah pinggang ialah mengawal tekanan darah, mengeluarkan hormon eritropoetin untuk merangsang penghasilan darah, mengumuhkan bahan toksik, mengumuhkan ubat atau bahan kimia yang dikumuhkan melalui buah pinggang serta mengawal paras elektrolit seperti sodium, potassium dan klorida.

Jadi simptom-simptom kegagalan buah pinggang adalah manifestasi dalam menjalankan fungsi ini. Pesakit akan kurang atau terlebih kencing, kulit menjadi lebih gelap , air berlebihan tidak dapat dikeluarkan menyebabkan kaki bengkak, terasa mual dan muntah disebabkan oleh bahan toksik berlebihan, gatal-gatal badan disebabkan oleh urea yang berlebihan, dan keletihan yang berpanjangan, dan juga anaemia iaitu kurang darah merah menyebabkan kelihatan pucat.

Antara penyebab kegagalan buah pinggang ialah :

  1. Penyakit vaskular ginjal- Renal artery stenosis, atheroemboli, hypertensive nephrosclerosis, renal vein thrombosis
  2. Penyakit glomerular primer - Membranous nephropathy, focal and segmental glomerulosclerosis (FSGS), membranoproliferative glomerulonephritis, rapidly progressive (crescentic) glomerulonephritis
  3. Penyakit glomerular sekunder -Diabetes mellitus, systemic lupus erythematosus, rheumatoid arthritis, scleroderma, postinfectious glomerulonephritis, endocarditis, hepatitis B and C, syphilis, human immunodeficiency virus (HIV), hemolytic-uremic syndrome (HUS), Henoch-Schönlein purpura, Alport syndrome, reflux nephropathy
  4. Ubat-ubatan - sulfa, allopurinol, ubat tahan sakit, antibiotik aminoglycoside, bahan radionuklied untuk pengimejan.
  5. Salur kencing tersumbat - batu karang, pembengkakan prostat, tumor, penyempitan uretra.
Jika tanda-tanda tersebut terdapat pada anda, sila berjumpa doktor dengan segera.

Infected contact dermatitis


































Semalam saya bertemu dengan seorang pesakit yang mengadu kulit tangannya melepuh, gatal dan sakit. Beliau bekerja sebagai tukang cuci di sebuah syarikat dan sering mengendali dan menggunakan bahan kimia untuk mencuci lantai. Setelah beberapa ketika tangan beliau menjadi sebegitu rupa bermula dengan gatal, dan sakit. Kemudian akibatnya beliau menggaru-garu tangan tersebut sehingga kulit itu menjadi melepuh, kasar, luka dan bengkak.

Penyakit tersebut ialah infected contact dermatitis kerana terdapat elemen jangkitan dan keradangan. Ini adalah respon oleh kulit terhadap bahan kimia yang dibebaskan oleh sel epidermis iaitu sel kulit. Bahan kimia yang digunakan tadi menyebabkan sel epidermis kulit itu mati.

Bahan-bahan yang boleh menjadi penyebab radang berkenaan termasuklah detergen dan air. Kebanyakan pesakit yang mengalami masalah ini adalah disebabkan oleh pendedahan yang berulang kali terhadap bahan kimia ini terutamanya sabun, air dan detergen.

Bahan pelarut juga antara penyebab kepada keradangan ini kerana ia menghapuskan kelembapan dan minyak daripada kulit, yang seterusnya akan menyebabkan kulit kehilangan air dengan cepat. Lalu kulit akan mengalami kesan toksik bahan kimia tersebut dengan lebih mudah.


Antara faktor-faktor yang dikenalpasti menerukkan penyakit ini ialah:

1) Udara kering
2) Perubahan suhu
3) Air
4) Bahan pelarut
5) Alkohol
6) Trauma kecil
7) Fiberglass
8) Sarung tangan getah
9) Alkali
10) Asid hidroflorik

Antara rawatan untuk penyakit ini ialah mengelakkan bahan kimia tersebut, krim pelembab, steroid topikal dan antibiotik. Apa yang penting ialah berjumpa dengan doktor anda untuk mendapatkan rawatan. Elakkan daripada menggunakan krim-krim tradisional atau ubat dari kedai cina atau bomoh untuk mengelakkan keadaan menjadi semakin teruk.



Ketumbit













Pernahkah anda mengalami masalah ketumbit? Tiba-tiba kelopak mata anda bengkak dan sakit, dan selepas beberapa hari ia kelihatan bernanah. Sesetengah orang-orang tua kata ia disebabkan oleh mengintai orang buang air besar.

Ia sebenarnya disebabkan oleh jangkitan kuman (staphylococcus aureus), berpunca daripada penyumbatan salur kelenjar meibomia atau kelenjar zeis yang berada dikelopak mata. Penyumbatan salur tersebut memudahkan jangkitan sekunder oleh bakteria seterusnya menyebabkan keradangan dan pengumpulan nanah dikawasan yang terlibat.

Lazimnya pesakit akan mengadu rasa sakit atau tidak selesa pada mata yang terlibat, kelopak mata menjadi merah, dan bengkak. Kadang-kadang, penglihatan juga kabur daripada biasa.


Kebiasaannya tanpa rawatan, penyakit ini akan sembuh dengan sendirinya serta mengambil masa 1-2 minggu.

Antara rawatan untuk ketumbit ialah penjagaan kebersihan mata, antibiotic topikal seperti ubat titis ataupun sapu, mengelap mata dengan kain bersih dan suam. Jika terdapat tanda-tanda ketumbit itu melibatkan jangkitan yang agak teruk, ( seluruh kelopak mata terlibat atau kemerahan), antibiotik sistemik ( pil antibiotik) mungkin diberikan.

Jika ketumbit itu masih tidak menunjukkan tanda-tanda sembuh, berkemungkinan ia memerlukan pembedahan kecil untuk mengeluarkan nanah tersebut.