Uri di BAWAH?



Anda seorang wanita yang hamil 7 bulan, kemudian ketika ultrasound scan dijalankan, doktor memberitahu anda bahawa kedudukan uri anda berada dibawah. Apakah anda terkejut dan mengerti makna uri dibawah? Atau anda membiarkan sahaja maklumat itu menjadi sebahagian daripada misteriiiii? Atau anda membiarkan sahaja ia menjadi penyebab kematian bagi ibu mengandung?? Pada pendapat saya, amat wajar wanita yang mengandung mengetahui serba sedikit mengenai masalah ini.


Dalam bahasa perubatan, uri dinamakan sebagai placenta, manakala pelekatan uri dibahagian bawah uterus berdekatan dengan internal os atau pun cervix ( pintu rahim ) ialah placenta praevia. Untuk memahami maksud dengan jelas, mari kita lihat ilustrasi dibawah.


Dalam keadaan normal, pelekatan uri haruslah tidak menutupi cervix supaya tidak menghalang proses kelahiran dimana bayi akan melalui cervix (pintu rahim). Ia boleh melekat di mana-mana bahagian rahim seperti di depan (anterior), belakang (posterior), bahagian sisi(lateral) dan atas (fundus ). Dalam contoh di atas, placenta tersebut melekat sepenuhnya di pintu rahim menyebabkan bayi tidak boleh dilahirkan secara normal.


Placenta praevia boleh dibahagikan kepada beberapa tahap iaitu :

1) Complete ( sepenuhnya )
2) Partial ( sebahagian)
3) Marginal ( menghampiri tetapi tidak menutupi )
4) Low lying ( berdekatan dengan pintu rahim tetapi masih lagi tidak menutupinya ).


Antara faktor-faktor risiko untuk mendapat placenta praevia ketika mengandung adalah seperti berikut:

1) Peningkatan usia
2) Mengandung lebih daripada 2 kali ( multiparity)
3) Mengandung kembar (twin pregnancy )
4) Sejarah pembedahan melibatkan rahim ( caesarean section )
5) Keguguran

Wanita yang hamil dengan placenta praevia mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat komplikasi seperti berikut:

1) Pendarahan yang banyak
2) Jangkitan (septicaemia )
3) Risiko untuk pembuangan rahim jika pendarahan terlalu teruk dan tidak dapat dihentikan
ketika pembedahan.


Kebiasaannya untuk memastikan kedudukan uri, ultrasound scan perlu dilakukan pada usia kandungan 7 bulan ( 28 minggu ), jika jarak dibahagian hujung uri dengan cervix > 5 cm bermakna uri diatas, tetapi jika jarak uri < 5 cm, maka ultrasound perlu diulangi dalam masa 2 - 4 minggu untuk memastikan kedudukan uri yang sebenar. Tetapi jika uri menutupi sepenuhnya kemungkinan anda akan dimasukkan ke wad sehingga 9 bulan kemudian pembedahan akan dilakukan.

Setakat ini rawatan untuk placenta praevia adalah simptomatik. Untuk placenta praevia sepenuhnya dan sebahagian ( complete and partial ) memerlukan pembedahan manakala low lying atau marginal ada kemungkinan kelahiran secara normal dibenarkan. .

Para peniaga Bazaar Ramadhan




Bulan Ramadhan al-Mubarak yang dinanti akan menjelang tiba tidak lama lagi. Pastinya apa yang sinonim dengan bulan ramadhan di sudut benak kita ialah BAZAAR RAMADHAN. Bulan inilah umat Islam di Malaysia khususnya menikmati juadah-juadah pelbagai rupa dan rasa, malah kadangkala menyebabkan tabiat makan kita lebih daripada biasa.

Kepada umat Islam yang berpuasa, marilah kita mengamalkan pemakanan yang sihat dengan mempraktikkan makan semasa lapar, berhenti sebelum kenyang seperti mana Rasullullah ajarkan kepada kita. Ini kerana jika kita lihat kembali, kebanyakan penyakit pada hari ini berpunca daripada makanan. Mahu menjamu selera itu boleh tetapi berpada-padalah.



Kepada para peniaga anda diingatkan supaya mengambil suntikan vaksin Typhim di klinik kerajaan atau swasta. Ini untuk mengelakkan jangkitan Typhoid lebih-lebih lagi daripada pengendali makanan kepada pelanggan. Anda cuma perlu mengambil vaksin sekali dalam masa 3 tahun.


Vaksin tersebut akan disuntik di bahagian badan yang berotot ( cth bahu, punggung) dan tidak menyebabkan kesan sampingan yang serius. Sesetengah individu mungkin mengalami demam, pening kepala, dan loya yang ringan. Walaupun ia memberi perlindungan kepada badan, ia tidak menjamin 100% pesakit itu tidak dijangkiti. Anda masih perlu menjaga kebersihan, mengamalkan kebersihan makanan dan tangan, hanya minum minuman yang sudah dimasak atau ditapis


Kepada rakyat Malaysia khususnya umat Islam, selamat menyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak.

JENIS-JENIS TOPENG MUKA ( MASK )

H1N1 atau selsema babi telah menyerang seluruh warga dunia dengan penangan yang dahsyat ( fullblown). Rakyat di Malaysia juga terasa impaknya apabila kes-kes kematian dilaporkan satu persatu, pertambahan yang begitu mendadak sekali. Jika dibandingkan kes jangkitan dengan kadar mortaliti di Malaysia, negara kita mencatatkan kadar mortality (kematian ) antara yang tertinggi didunia. Sehingga kini 62 kematian dicatatkan di Malaysia yang cukup untuk menggerunkan kita. Angka ini jauh lebih tinggi daripada kematian denggi 28127 kes dengan hanya 67 kematian.

Antara penyebab penularan jangkitan yang tinggi ialah ia berjangkit melalui udara ( airborne disease). Mereka yang berdekatan dengan pesakit yang mempunyai simptom boleh berjangkit dengan mudah apabila udara yang mengandungi virus daripada kahak dan hingus disedut oleh individu yang sihat.

Oleh sebab itu, mereka yang mempunyai simptom diwajibkan memakai topeng muka untuk mengelakkan penyebaran udara tercemar dengan virus. Mereka yang sihat juga digalakkan memakai topeng muka apabila pergi ke tempat yang sesak.



Antara jenis-jenis topeng muka ialah :

1) Surgical mask

Ia digunakan oleh pesakit untuk mengelakkan cecair kahak dan hingus pesakit tersebar ke udara ketika batuk. Tidak menjanjikan perlindungan 100% kepada pemakai yang sihat kerana udara masih lagi boleh masuk ke rongga-rongga yang ada di topeng tersebut jika tidak dipakai dengan kemas.



2) N95 mask
Ia digunakan oleh staf kesihatan untuk melindungi pemakai ketika berhadapan dengan pesakit yang bersimptom. Memberi perlindungan yang lebih tinggi kerana tiada rongga diantara mulut, hidung dan persekitaran luar. Pemakai mungkin berasa tidak selesa kerana tiada rongga udara dan menyebabkan sedikit kesukaran bernafas.


3) N 100 with filter



Mempunyai air filter dihadapan yang berfungsi dengan menapis udara diluar dan menghalang kemasukan partikel udara daripada memasuki rung dalam topeng. Agak selesa dipakai kerana filter tersebut membenarkan udara didalam topeng ke luar. Tidak sesuai dipakai oleh pesakit kerana masih membenarkan udara tercemar keluar daripada topeng tersbut.


Perlu diingatkan bahawa penggunaan topeng muka adalah pakai buang dan tidak boleh digunakan sekali lagi dan tidak boleh dikongsi. Apa pun, sila amalkan amalan kebersihan tangan, mengelakkan daripada mengunjungi tempat-tempat awam apabila tidak perlu dan jarakkan diri daripada mereka yang mempunyai simptom. Sekian.

H1N1 terbaru!!



Kematian disebabkan oleh H1N1 semakin meningkat dengan mendadak dalam masa 1 bulan kebelakangan ini. Situasi ini juga menyebabkan keadaan panik seluruh warga dunia termasuk Malaysia. Pada 31 Julai 2009, Malaysia hanya mencatatkan 5 kematian, dan setakat 13/08/09, 51 kematian telah dicatatkan. 46 kematian dalam masa 2 minggu manakala jumlah notifikasi H1N1 juga tidak menggambarkan jumlah sebenar mereka yang dijangkiti penyakit tersebut kerana makmal perubatan di seluruh negara tidak mampu menanggung beban ujian 'throat swab' yang menuntut sejumlah keperluan kewangan dan juga sumber manusia yang terhad.

Kementerian kesihatan telah mengambil langkah positif dan proaktif dalam usaha mengurangkan impak H1N1 kepada masyarakat serta mengurangkan kadar mortaliti di negara ini. Antaranya ialah pemberian ANTIVIRUS kepada mereka yang disyaki mengalami simptom Influenza Like Illness dan mempunyai penyakit-penyakit tertentu yang meningkatkan lagi risiko kematian.

Disini saya ingin mengingatkan bahawa kriteria untuk Influenza Like Illness (ILI) ialah

1) Demam yang tinggi iaitu > 38 C
2) Disertai dengan sakit tekak dan batuk
3) Dimana tiada diagnosis lain yang difikirkan.


Mereka yang boleh mendapatkan rawatan ANTIVIRUS ialah mereka yang mempunyai masalah kesihatan, umur yang ekstrem, dan mengandung seperti:

1) Penyakit paru-paru seperti asma, copd, obstructive sleep apnea.
2) Wanita mengandung lebih-lebih lagi trimester 2 dan 3, > 3 bulan.
3) Kegemukan, BMI > 30
4) Warga tua > 65 tahun
5) Kanak-kanak <>
Rawatan antivirusnya ialah Tablet Oseltamivir 75mg (Tamiflu) dua kali sehari selama 5 hari manakala dos kanak-kanak adalah mengikut berat.

Berat Badan Dos
≤15 kg 30 mg
16-23 kg 45 mg
24-40 kg 60 mg
> 40 kg 75 mg

Buat masa ini, pemberian amtivirus Tamiflu hanya diberikan kepada mereka yang diatas. Mereka yang tiada faktor risiko tidak akan diberikan antivirus ini kerana kes-kes kematian pada waktu ini secara kasarnya melibatkan mereka yang mempunyai faktor risiko. Pemberian antivirus secara meluas dan tidak terkawal akan menyebabkan rintangan dan kekebalan virus terhadap antivirus ini yang menyebabkan ia tidak lagi berkesan apabila digunakan.

Polisi ini juga akan bergantung kepada keadaan semasa yang mungkin akan disemak kembali jika terdapat beberapa perubahan epidemiologi penyakit ini.

Bagaimana doktor membuat diagnosis?

Beribu-ribu penyakit wujud di dunia ini, juga berbeza-beza diantara satu hemisfera, benua, negara, dan juga iklim. Bagi seorang doktor untuk membuat diagnosis sesuatu penyakit adalah sesuatu yang mencabar minda. Pelbagai nama penyakit yang kebanyakannya berasal daripada bahasa greek, jenis-jenis penyakit, ciri-ciri dan juga rawatan perlu diingati oleh doktor. Ini belum lagi dikira penyakit-penyakit baru yang ditemui. Boleh juga dikatakan proses untuk mendapatkan diagnosis sesuatu penyakit sebagai seni penyiasatan.













Cuba bayangkan jika seseorang pesakit datang menemui doktor kerana batuk, boleh dikatakan lebih daripada 20 diagnosis penyakit. Jadi semestinya ada susun atur, method dan skrip yang teratur untuk mendapatkan diagnosis yang tepat seterusnya mendapatkan rawatan yang berkesan. Ini kerana setiap penyakit mempunyai ciri-ciri khas yang membezakan diantara satu sama lain.


Secara amnya, cara untuk mendapatkan diagnosis yang tepat adalah seperti berikut (peratusan kebarangkalian penyakit mengikut pengalaman saya). Ini adalah standard untuk diseluruh dunia:

1) Pemerhatian seimbas lalu (5-10%). Kita dapat mengagak penyakit pesakit sebaik sahaja pesakit membuka pintu dan masuk ke dalam bilik pemeriksaan dengan cara mereka berjalan, memegang muka, perlu dipimpin atau berjalan dengan selamba. Jika pesakit itu batuk dan selsema, mungkin pesakit itu mengalami jangkitan tekak, jika pesakit berjalan dengan terbongkok mungkin pesakit mengalami sakit perut yang kuat. Jika pesakit itu mengalami penyakit asma akut pesakit akan menunjukkan pernafasan yang cepat dan tercungap-cungap.

2) Sejarah penyakit (50-60%). Ini termasuklah sejarah penyakit sekarang, sejarah yang lalu, sejarah ubat, sejarah alahan, sejarah penyakit keluarga. Melalui sejarah pesakit sahaja kita mampu hampir mendapatkan diagnosis yang sebenar. Katakan jika seseorang pesakit itu mempunyai asma, pesakit itu akan memberitahu bahawa dia mengalami sesak nafas sejak kecil, disebabkan oleh cuaca sejuk, habuk, jangkitan tekak ataupun selepas bersenam. Mereka juga mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai asma.

3) Pemeriksaan fizikal ( 20-30%). Pemeriksaan fizikal perlu dilakukan untuk mengesahkan dan menyokong diagnosis yang kita fikirkan. Cthnya jika pesakit itu asma pernafasannya akan sedikit tercungap, tidak mempu bercakap dengan normal, jika dadanya diperiksa dengan stethoscope, akan ada bunyi rhonchi. Jika sesorang datang kerana gout, kakinya akan kelihatan merah, bangkak, dan sakit.

4) Penyiasatan darah, sampel tekak, air kencing, x-ray, CT Scan, MRI, ultrasound, dsb. (15-20%). Penyiasatan ini dilakukan untuk mengesahkan penyakit tersebut jika perlu.


Sepintas lalu jika kita lihat diagnosis penyakit boleh diperolehi dengan mendapatkan sejarah penyakit tersebut. Diagnosis penyakit hanya memerlukan pemerhatian yang tajam, sejarah penyakit dan pemeriksaan fizikal. Penyiasatan darah, scan, ultrasound atau x-ray hanya akan dilakukan jika perlu. Jadi jangan marah jika doktor anda bertanya terlalu banyak soalan kepada anda. Sekian.