WABAK DENGGI MENGANASS!!!



































Baru-baru ini saya dikejutkan dengan kematian pesakit denggi yang tinggal berhampiran dengan tempat saya bekerja iaitu di Bestari Jaya ( Batang Berjuntai ). Pesakit tersebut telah dimasukkan ke SJMC dan dirawat disana. Ini selari dengan peningkatan jumlah penyakit denggi diseluruh negara dan kematian yang melonjak ke angka yang membimbangkan.

Menurut kenyataan daripada Ketua Pengarah Kesihatan, setakat ini dari awal tahun 2009 hingga minggu ke 15 epid (April), sebanyak 16,684 kes denggi dilaporkan dan mencatatkan 40 kematian. Dan negeri Selangor adalah juara yang mencatatkan kes tertinggi, iaitu sebanyak 8,928 kes, yakni separuh daripada kes yang dilaporkan seluruh negara serta mencatat 27 kematian. Antara lokaliti-lokaliti yang terlibat dengan penularan wabak ini ialah Shah Alam, Klang, Kajang, Subang Jaya, dan Petaling Jaya.

Antara hipotesis yang boleh dibuat ialah mobiliti pesakit denggi di negeri ini. Majoriti penduduk Selangor tinggal ditempat lain di malam hari dan bekerja di tempat lain di siang hari yang mana akan memudahkan penyebaran virus Denggi dari tempat lain ke tempat lain. Ini diikuti dengan sikap masyarakat setempat yang enggan bekerjasama semasa aktiviti fogging dijalankan kerana mereka menganggap rumah mereka tidak terlibat dalam penyebaran wabak ini. Mereka juga jarang sekali mahu mengadakan gotong royong untuk membersihkan kawasan sekitar serta membuang sampah-sampah yang menjadi nadi pembiakan nyamuk Aedes.

Dah hal ini, semua pihak harus berganding bahu membanteras wabak ini daripada terus menggila meragut lebih banyak nyawa. Janganlah beban ini dilepaskan sepenuhnya kepada kementerian kesihatan sahaja kerana esok mungkin hari kita untuk dijangkitinya. Berilah kerjasama kepada anggota kesihatan yang berpenat lelah menjalankan kewajipan dan anda juga mampu memainkan peranan yang bukan sedikit dalam memerangi wabak ini. Antaranya ialah:

1) Hapuskan semua bekas terutama yang boleh menakung air; seperti tayar, bekas tong cat, bahan plastik, kaca atau tin ke dalam tong sampah. Basuh dan gosok semua alas pasu bunga dan bekas jambangan bunga bagi menanggalkan telur Aedes yang melekat seminggu sekali.

2) Letakkan bahan pembunuh jentik-jentik (temephos) di dalam bekas air yang tidak digunakan lebih dari seminggu seperti kolah mandi, sistem tandas, tangki utama dan lain-lain.

3) Dapatkan rawatan segera apabila anda mengalami tanda penyakit demam denggi contohnya, demam, sakit-sakit badan, sakit kepala, ruam dan lain-lain di klinik berhampiran.

4) Orang awam adalah digalakkan mengambil bahagian aktif dalam aktiviti gotong-royong menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes.

Ingat,Tiada Aedes, tiada denggi.

Maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang(web)
Kementerian Kesihatan di http://www.moh.gov.my

Sakit Lutut? Mungkin Osteoarthritis





Pernahkah atau anda sedang mengalami sakit lutut lebih-lebih lagi ketika berjalan? Mungkin Osteoarthritis adalah penyebabnya. Penyakit ini sering berlaku kepada orang yang gemuk, pernah mengalami kemalangan, atau orang yang lanjut usia. Biasanya sendi yang terlibat ialah sendi-sendi yang menyokong berat badan seperti sendi peha, lutut, dan tulang belakang.

Masalah utama yang berlaku pada Osteoarthritis ini ialah kehausan rawan pada pelapik sendi lutut. Pelapik sendi pada lutut berfungsi untuk mengurangkan geseran dan hentakan diantara tulang peha dan tulang fibula & tibia. Apabila rawan yang berada diantaranya menjadi haus, maka geseran akan berlaku diantara tulang-tulang tersbut dan akan menyebabkan kesakitan terutamanya apabila bergerak dan merangsang pertumbuhan tulang yang tidak normal seterusnya mengubah struktur anatomi lutut tersebut. Ini seterusnya akan mengehadkan pergerakan, bengkak, menjadikan tendon dan juga otot-otot yang menyokong sendi lutut itu lemah.

Antara faktor risiko untuk masalah ini ialah:

1) umur

2) obesiti

3) Kecederaan sendi

4) sejarah keluarga / keturunan

5) otot lemah


Untuk mengesahkan penyakit ini, biasanya doktor akan melakukan X-ray pada sendi terbabit.



















Rawatan
1) Pengurangan berat badan, senaman, rehat, sokongan pada sendi seperti menggunakan knee brace, bandage dsb.
2) Ubat - ubat makan, ubat sapu, suntikan untuk mengurangkan kesakitan dan keradangan.
3) Ubat-ubatan tradisional dan juga makanan kesihatan tambahan, urutan, akupunktur.
4) Pembedahan artroplasti, artroskopi ( peringkat teruk )



MATA PESAKIT DIABETES

















Dah lama saya tak cek funduskopi untuk pesakit diabetes saya. Ingatkan ok sahaja. Rupa-rupanya ada diantara mereka yang hampir sudah rosak disebabkan oleh diabetic retinopathy. ia disebabkan oleh kawalan diabetes yang teruk, dan diabetic retinopathy adalah salah satu komplikasinya.


Diabetic retinopathy adalah disebabkan oleh hiperglisemia iaitu paras gula yang tinggi. Paras gula yang tidak terkawal menyebabkan salur darah yang kecil tersumbat dan kebocoran kapilari yang kecil. Ini akan menyebabkan protein daripada salur darah keluar ke retina. Penambahan kelikatan sel darah merah dan platlet pula menyebabkan penyerapan oksigen berkurangan seterusnya menyebabkan iskemia. Iskemia ini pula seterusnya menambahkan kecenderungan untuk mata membina salur-salur darah yang baru yang tidak normal dan mudah pecah.

Biasanya apa yang menyebabkan gangguan penglihatan bagi pesakit tersebut ialah apabila makula pada mata sudah rosak ataupun pendarahan pada vitreous.

Bandingkan gambar diatas dengan gambar dibawah ( pesakit diabetic retinopathy ). Jadi, jika anda pesakit diabetes, ikutilah nasihat doktor anda supaya mata anda tidak jadi seperti ini.
















Arakk, glamour dan moden??


















Dewasa ini arak amat mudah didapati dimana-mana sahaja. Daripada pasaraya besar sehinggalah di kedai serbanika 24 jam. Malah dalam masyarakat kita ini pengambilan arak tidak lagi dianggap sebagai jenayah syariah khususnya bagi penganut islam. Sesetengah mereka pula berasa bangga dan menganggap diri mereka penganut fahaman moden dan sofistikated sealiran dengan kemajuan tamadun barat. Alkohol juga bagi mereka melambangkan status kejayaan individu dan mampu menghilangkan rasa bosan setelah melalui kehidupan yang melelahkan.

Alkohol atau arak dianggap sebagai penjahanam bagi sesebuah masyarakat. Hal Ini disebabkan oleh kesan sampingan arak terhadap tahap kewarasan seseorang yang mengambil arak tersebut. Individu boleh menjadi lebih agresif, ganas, hilang kewarasan, menyebabkan sakit mental dan sebagainya. Inilah rasionalnya Islam mengharamkan arak berdasarkan kerosakan yang boleh disebabkan olehnya.


Mari kita lihat apakah kesan sampingan alkohol terhadap kesihatan.

  • Alkohol menambah asid didalam perut. Penambahan asid didalam perut boleh menyebabkan gastrik, radang pankreas (pancreatitis), ulser perut ( peptic ulcer) dan juga boleh merosakkan usus kecil dan menghalang penyerapan nutrient.
  • Alkohol boleh menghalang seseorang daripada mendapat tidur nyenyak yang mencukupi (deep sleep). Ia juga boleh menyebabkan anda kerap kencing hingga mengganggu tidur anda.
  • Menyebabkan gout kerana mengganggu metabolisme asid urik.
  • Menyebabkan risiko lebih tinggi terhadap kanser pankreas, mulut, tekak, esofagus, kanser hati, sirosis hati.
  • Menyebabkan kehilangan protein, mineral, dan vitamin. Alkohol juga mengganggu penyerapan vitamin B 1 yang seterusnya mengganggu ingatan, pergerakan mata, kebas-kebas, lemah kaki dan tangan.
  • Menyebabkan penyakit darah tinggi, strok dan lemah jantung/
  • Menaikkan paras gula dalam darah, menyebabkan diabetes tak terkawal.
  • Kecederaam jika terlibat dalam kemalangan.
  • Arak juga mampu mengganggu kesihatan mental seperti
  • kebimbangan yang teruk (anxiety)
  • Kemurungan (depression)
  • Kekeliruan
  • Ketagihan

Akhir sekali, janganlah kita terpengaruh dengan momokan barat dan orientalis yang mahu melihat masyarakat kita hancur dek kerana masalah sosial yang dibawa oleh alkohol. Renungkan


GATALNYA !!!

















































Eee. Gatalnya! Lebih-lebih lagi waktu malam. Sampai tak dapat nak tidur.

Kawan aku kat katil sebelah pun sama. Apa penyakit ni?

Mungkin anda pernah ataupun sedang mengalami masalah ini. Masalah diatas disebabkan oleh penyakit Scabies.
Ia disebabkan oleh sejenis kutu kecil iaitu Sarcoptes scabiei. Ia boleh berjangkit diantara manusia melalui sentuhan, berkongsi pakaian, cadar, tuala, dsb.
Kutu ini boleh dipindahkan diantara manusia dan manusia dan juga manusia dan haiwan seperti anjing, kucing, babi, monyet, musang dsb.


Simptom-simptom

1) Gatal terutamanya pada waktu malam.
2) Mempunyai rakan sebilik, asrama, ahli keluarga dirumah yang mengalami simptom
yang sama.
3) Ruam dibahagian badan yang tertentu iaitu celah-celah jari tangan dan kaki,
permukaan atas kaki, ketiak, pelipat lengan, siku, pinggang, punggung, dan
kemaluan (lelaki di bahagian penis dan skrotum, perempuan di mons pubis)
4) Apabila ruam ini digaru dengan kuat, kemungkinan akan menyebabkan luka seterusnya memudahkan jangkitan bakteria di tempat ruam tersebut.


Rawatan

1) Ubat tahan gatal (antipruritic agent)
2) Ubat pembunuh kutu ( scabicidal agent )
3) Semua ahli keluarga atau ahli asrama yang mengalami masalah yang sama perlu mendapatkan rawatan.
4) Baju, cadar, kain, sarung bantal, karpet perlulah direndam dengan air panas bagi membunuh kutu tersebut

Seperti biasa, silalah berjumpa dengan doktor anda untuk mendapatkan rawatan.





Gegata ?































Pernahkah anda mengalami gatal-gatal kulit dengan tiba-tiba atau pun selepas makan makanan laut atau alahan makanan? Kulit anda juga akan bengkak dan menaik dan kemerah merahan. Kadang-kadang kulit anda juga akan menjadi gatal dan sakit. Mungkin rakan-rakan anda akan memngatakan itu adalah gegata. Gambar diatas adalah contoh penyakit tersebut.

Dalam istilah perubatan, keadaan ini dipanggil urticaria.
Kebiasaannya keadaan ini akan pulih sendiri apabila punca alahan ini dijauhi atau dielakkan. Ia juga boleh dirawat dengan antihistamine.

Pada asasnya, ia boleh dibahagikan sebagai akut dan kronik.
1) Akut = kurang daripada 6 minggu.
2) Kronik = tempoh minimum 6 minggu dan keatas

Punca utamanya boleh disebabkan oleh alahan dan bukan alahan. Dan bahan kimia disebalik kejadian ini adalah histamine yang dihasilkan oleh badan kita. Bahan ini akan menyebabkan salur darah mengembang dan pembengkakan tisu disekeliling tempat tersebut. Bahan ini juga yang akan menyebabkan kegatalan.

Simptom-simptom
1) Kulit membengkak, merah, pelbagai saiz dan bentuk.
2) Gatal dan kadang-kadang sakit.
3) Dermatographism. Kulit akan membengkak jika digaru.
4) Biasanya bengkak akan surut dalam masa 24 jam, tetapi akan berlaku pada bahagian badan yang lain.

Punca-punca atau penyebab

1) Makanan
2) Ubat
3) Sentuhan kepada allergen
4)Sengatan
5) Bisa binatang
6) Radiocontrast
7) Jangkitan
8) Sejuk
9) Tekanan pada bahagian badan
10) Cahaya matahari

Rawatan

1) Elakkan agen alahan tersebut. Jika anda alah pada sebarang makanan, jauhi makanan tersebut. Jika alah pada sejuk, getah, rantai daripada emas atau perak, elakkan daripada memakai barangan tersebut.

2) Antihistamine seperti piriton, cetirizine, loratadine ataupun steroid seperti prednisolone.


Maklumat diatas adalah sebagai panduan. Anda haruslah berjumpa dengan doktor anda untuk mengesahkan diagnosis dan memberikan ubat yang sesuai. Sekian.

Permulaan

Assalamualaikum .......

Sebenarnya sudah lama niat dihati untuk menulis blog. Inilah rasanya peluang terbesar untuk berkongsi ilmu pengetahuan dengan masyarakat yang sudah bersedia dengan era ledakan maklumat yang infiniti ini. Kebanyakan blog hari ini di Malaysia hanya berkisar tentang politik semasa, self interest, dan dsb. Rasanya tidak ada atau pun boleh dikatakan sedikit yang memaparkan atau berkongsi ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam bidang masing-masing.

Jadi inilah kesempatan yang harus saya ambil untuk berkongsi ilmu dengan masyarakat yang kehausan ilmu pengetahuan lebih-lebih lagi yang berkenaan dengan kesihatan. Orang kata, kalau kita sedekahkan harta, maka harta akan berkurang. Tetapi jika kita sedekahkan ilmu, insyaAllah ilmu kita akan bertambah.

Saya hanyalah seorang pegawai perubatan, bukan seorang pakar mahupun pakar runding dalam bidang tertentu. Tetapi rasanya saya akan berkongsi fakta semampu daya saya.

Andai kata fakta yang diberikan silap atau kurang tepat, anda dialu-alukan untuk memperbetulkan fakta tersebut.

Saya berusaha untuk menggunakan Bahasa Melayu dalam artikel ini untuk memudahkan pemahaman anda.