PERLUKAH BERPANTANG?


Sewaktu saya merawat pesakit, ramai yang bertanya kepada saya perlukah mereka berpantang ketika mereka sakit dan demam. Adakah mereka perlu mengelak daripada mengambil telur, udang, sayur-sayuran ketika mereka sakit. Tidak kurang juga saya menemui wanita postnatal iaitu selepas bersalin di"haramkan" mengambil makanan yang lebih berkhasiat dan bernutrisi serta buah-buahan. Malahan ada juga yang dilarang minum air sehingga mereka mengalami sembelit sehingga luka episiotomi di faraj dijangkiti kuman dan mengalami pendarahan.

Ada juga yang mengatakan mandi malam menyebabkan paru-paru berair, manakala sesetengah berpendapat tidak boleh mandi selepas menjalani pembedahan. Sehinggakan pernah satu ketika saya berjumpa dengan pesakit post caesar dimana luka pembedahan tidak bercantum langsung hingga terpaksa dimasukkan ke wad kerana jangkitan luka.

Jika kita fikirkan secara logik, apa kaitannya mandi malam dengan paru-paru berair ( pleural effusion dalam bahasa perubatan ) yang mana penyebabnya ialah Lemah jantung. Amnya, jika seseorang telah berpeluh, badan kotor dan berbau amat wajar sekali mereka mandi untuk membunuh mikroorganisma yang mungkin menjangkitinya. Manakala wanita yang baru bersalin perlu mengambil air minuman yang mencukupi untuk mengelakkan sembelit yang boleh menyebabkan luka bersalin lambat sembuh.

Semua ini adalah contoh pandangan-pandangan tradisional yang tidak berdasarkan bukti saintifik. Umum menyedari bahawa orang-orang tua dahulu belajar melalui pengalaman mengenai sesuatu perkara. Ini bukan bermakna mereka tidak betul dalam semua perkara, malah sesetengahnya boleh diambil sebagai panduan dan petua. Manakala selebihnya perlulah kita pula selidiki sejauh mana kebenaran dan keabsahan perkara itu. Kita sebagai generasi bermaklumat dan saintifik perlu ada inisiatif untuk mengesahkan sesuatu perkara berdasarkan bukti ilimiah tanpa merujuk pandangan tradisional yang mana sesetengahnya mungkin tidak lagi relevan di zaman ini.

Apa yang penting anda perlu menghapuskan kesangsian tersebut dengan bertanya kepada orang yang arif dalam perkara tersebut. Jelas sekali dalam hal ini, anda perlu bertanya dengan doktor anda untuk menghilangkan kesangsian tersebut. Sekian, terima kasih.

0 comments:

Post a Comment