Baru-baru ini saya dikejutkan dengan kematian pesakit denggi yang tinggal berhampiran dengan tempat saya bekerja iaitu di Bestari Jaya ( Batang Berjuntai ). Pesakit tersebut telah dimasukkan ke SJMC dan dirawat disana. Ini selari dengan peningkatan jumlah penyakit denggi diseluruh negara dan kematian yang melonjak ke angka yang membimbangkan.
Menurut kenyataan daripada Ketua Pengarah Kesihatan, setakat ini dari awal tahun 2009 hingga minggu ke 15 epid (April), sebanyak 16,684 kes denggi dilaporkan dan mencatatkan 40 kematian. Dan negeri Selangor adalah juara yang mencatatkan kes tertinggi, iaitu sebanyak 8,928 kes, yakni separuh daripada kes yang dilaporkan seluruh negara serta mencatat 27 kematian. Antara lokaliti-lokaliti yang terlibat dengan penularan wabak ini ialah Shah Alam, Klang, Kajang, Subang Jaya, dan Petaling Jaya.
Antara hipotesis yang boleh dibuat ialah mobiliti pesakit denggi di negeri ini. Majoriti penduduk Selangor tinggal ditempat lain di malam hari dan bekerja di tempat lain di siang hari yang mana akan memudahkan penyebaran virus Denggi dari tempat lain ke tempat lain. Ini diikuti dengan sikap masyarakat setempat yang enggan bekerjasama semasa aktiviti fogging dijalankan kerana mereka menganggap rumah mereka tidak terlibat dalam penyebaran wabak ini. Mereka juga jarang sekali mahu mengadakan gotong royong untuk membersihkan kawasan sekitar serta membuang sampah-sampah yang menjadi nadi pembiakan nyamuk Aedes.
Dah hal ini, semua pihak harus berganding bahu membanteras wabak ini daripada terus menggila meragut lebih banyak nyawa. Janganlah beban ini dilepaskan sepenuhnya kepada kementerian kesihatan sahaja kerana esok mungkin hari kita untuk dijangkitinya. Berilah kerjasama kepada anggota kesihatan yang berpenat lelah menjalankan kewajipan dan anda juga mampu memainkan peranan yang bukan sedikit dalam memerangi wabak ini. Antaranya ialah:
1) Hapuskan semua bekas terutama yang boleh menakung air; seperti tayar, bekas tong cat, bahan plastik, kaca atau tin ke dalam tong sampah. Basuh dan gosok semua alas pasu bunga dan bekas jambangan bunga bagi menanggalkan telur Aedes yang melekat seminggu sekali.
2) Letakkan bahan pembunuh jentik-jentik (temephos) di dalam bekas air yang tidak digunakan lebih dari seminggu seperti kolah mandi, sistem tandas, tangki utama dan lain-lain.
3) Dapatkan rawatan segera apabila anda mengalami tanda penyakit demam denggi contohnya, demam, sakit-sakit badan, sakit kepala, ruam dan lain-lain di klinik berhampiran.
4) Orang awam adalah digalakkan mengambil bahagian aktif dalam aktiviti gotong-royong menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes.
Ingat,Tiada Aedes, tiada denggi.
Maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang(web)
Kementerian Kesihatan di http://www.moh.gov.my
1 comments:
Informatif
Post a Comment