Kalah perangi denggi?


PUTRAJAYA 10 Jun - Selepas mengisytiharkan 'perang' ke atas demam denggi pada awal tahun, Kementerian Kesihatan hari ini mengakui berada di ambang kekalahan, iaitu gagal memerangi wabak itu.

Antara punca yang menyebabkan 'kekalahan' itu adalah kegagalan doktor di klinik kerajaan dan swasta untuk mengesan kes demam denggi atau tidak melaporkan kes berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, Selangor merupakan negeri yang tidak menunjukkan kesan positif selepas 'perang' diisytiharkan manakala negeri lain hanya menunjukkan sedikit perubahan.

"Jumlah terkumpul kes demam denggi tahun ini adalah sebanyak 22,426 kes berbanding 17,962 kes pada tempoh sama pada 2008.

"Kes kematian adalah 57 kes berbanding 35 kes dalam tempoh yang sama pada tahun lepas," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, ramai di kalangan doktor di klinik swasta enggan memberi kerjasama kepada Kementerian Kesihatan.

"Klinik-klinik ini sepatutnya melaporkan 85 peratus kes demam denggi, tetapi hakikatnya mereka hanya melaporkan sembilan peratus kes.

"Ini menyebabkan kita tidak dapat menyekat penularan penyakit dengan cepat," katanya.


Pada pendapat saya, memang diakui kita mungkin telah gagal dalam memerangi wabak ini. Tetapi doktor dan staf kesihatan tidak boleh dipersalahkan 100%. Lihat sahaja setiap hari anggota kesihatan bertungkus lumus membuat aktiviti penyemburan kabus (fogging), melakukan aktiviti pengesanan aktif denggi, menggalakkan aktiviti gotong royong, dan memberi penerangan berkenaan dengan penyakit denggi di klinik-klinik.


Pada pandangan saya, antara faktor-faktor kegagalan tesebut antaranya ialah:


1. Sikap pengotor, tidak mementingkan kebersihan, suka membuang sampah merata-rata masyarakat kita menyebabkan longkang-longkang tersumbat, tayar-tayar dan bekas-bekas kosong yang menjadikan pembiakan nyamuk aedes tidak terkawal.

2. Keengganan masyarakat bekerjasama dengan anggota kesihatan dalam aktiviti penyemburan kabus (fogging) seterusnya menyebabkan nyamuk aedes tidak mati dan penularan wabak tidak terkawal.

3. Aktiviti penyemburan kabus yang terlalu kerap menyebabkan rintangan dan kekebalan oleh nyamuk terhadap bahan kimia tersebut.

4. Sikap masyarakat yang tidak mahu berjumpa doktor ketika sakit.

5. Sikap masyarakat yang suka berjumpa dengan doktor yang berlainan ketika sakit. Ini menyebabkan doktor tersebut tidak dapat menentukan seserius mana penyakit pesakit tersebut. Jika anda berjumpa dengan doktor yang sama, kemungkinan besar doktor dapat mengesan keadaan pesakit tersebut yang semakin teruk, dan seterusnya merujuk ke hospital lebih awal.

6. Doktor di klinik swasta yang tidak melaporkan notifikasi penyakit denggi ini menyebabkan aktiviti kawalan di lokaliti tertentu tidak dapat dijalankan.

7. Threshold yang tinggi di kalangan doktor-doktor terhadap pesakit denggi yang menyebabkan pesakit denggi tidak dikesan dan dirawat.


Kesimpulannya, janganlah doktor dan staf kesihatan sahaja yang dipersalahkan. Saya percaya doktor dan anggota kesihatan telah melakukan yang terbaik. Masyarakat juga perlu menggembeng tenaga dalam usaha memerangi wabak ini. Pihak media juga boleh memainkan peranan yang besar dalam menggalakkan masyarakat bergotong-royong membudayakan kebersihan dan kesihatan, dan memberikan keterangan berkenaan dengan penyakit denggi. Kita masih tidak terlambat lagi untuk bertindak. Marilah bertindak segera.





1 comments:

azliazmi said...

itulah kebenarannya......bukan salah staff kesihatan sahaja.....tetapi,sikap bodoh sombong yang ada pada sikap kebanyakan orang malaysia sebenarnya......mengapa harus dipersalahkan kepada pihak kesihatan sahaja.....mengapa mereka tidak mencegah sendiri.....lihat shaja pada longkang rumah masing-masing,bekas-bekas kosong di luar dan dalam rumah......semuanya dibiarkan.....masyarakat kita sekarang ini pemalas,dan suka menyalahkan orang lain.

Post a Comment